RSS

Kotak Jerit-jerit

Monday, May 17, 2010

Qadha Solat

Solat adalah satu perintah agama yang mempunyai pengkhususan tempoh perlaksanaannya. Ia mempunyai waktu-waktu yang telah sedia diatur dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala, iaitu melalui firmanNya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [Maksud surah an-Nisaa' 4 - 103]. Apabila perintah ibadah solat itu dilaksanakan dalam waktunya, ia digelar sebagai al-adaa' manakala apabila solat itu dilaksanakan di luar waktunya ia digelar sebagai al-qadha. Secara lebih mendalam, qadha didefinasikan sebagai - Melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas dari waktunya atau melakukan solat selepas dari waktunya yang telah ditetapkan.[ 1]

Sebab-sebab Membolehkan Solat Diqadha.

Al-Qur'an dan as-Sunnah sememangnya ada mengajar kita tentang perihal menunaikan solat-solat fardhu di luar waktu yang ditetapkan. Akan tetapi kebolehan ini hanya atas beberapa sebab yang juga telah dijelaskan secara terperinci oleh kedua sumber syari'at tersebut, iaitu:

1. Apabila seseorang itu tertidur sehingga luput waktu solatnya.

2. Apabila seseorang itu terlupa sehingga luput waktu solatnya.

3. Apabila tersilap kiraan waktu solat sehingga terluput waktu yang sebenarnya.

4. Apabila seseorang itu berhadapan dengan situasi darurat sehingga terluput waktu solatnya.



Demikianlah sahaja empat faktor yang dibolehkan bagi seseorang itu tidak mendirikan solat-solatnya yang fardhu lalu kemudian diqadhakannya di lain waktu.[2] Tertidur dan terlupa adalah suasana yang dimaafkan bagi seseorang yang tidak solat di waktunya lalu diqadhakan dalam waktu yang lain apabila dia terjaga atau teringat, berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam:

Barangsiapa lupa untuk solat atau tertidur, hendaklah dia menunaikan ia apabila teringat. Tidak ada hukuman selain dari itu.[3]

Nabi sallallahu-alaihi- wasallam juga telah bersabda dalam satu hadith yang lain: Sebenarnya tidak ada kecuaian dalam masa tidur, kecuaian hanya berlaku dalam masa sedar. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang terlupa solat atau tertidur hendaklah menunaikannya apabila dia teringat, kerana Allah Ta'ala telah berfirman: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku." [4]

Kedua-dua sebab di atas diberikan kemaafan oleh syari'at kerana ia adalah bentuk keuzuran manusia yang diluar kemampuannya. Akan tetapi kemaafan ini tidaklah diberikan kepada mereka yang sengaja lagi sedar bertujuan berbuat sedemikian. Contohnya orang yang sengaja tidur di akhir waktu solat padahal dia masih belum solat maka dia dipandang sebagai berdosa besar kerana sengaja mencari helah untuk tidak solat. Demikian juga hukum yang sama bagi orang yang sengaja menyibukkan dirinya dengan sesuatu yang sememangnya akan membawa kepada kelupaan seperti sengaja mengasyikkan diri dengan permainan sukan di akhir waktu solat sehingga tertinggal solatnya itu. Perbuatan sebegini membawa bebanan dosa yang amat besar ke atas orang itu dan dia selain wajib mengqadha solat tersebut, dituntut agar segera bertaubat dan memperbetulkan dirinya.

Termasuk dalam kategori orang yang tertidur, melalui kaedah qiyas, ialah orang yang pitam atau pengsan. Maka bagi mereka dimaafkan solat yang tertinggal itu akan tetapi apabila sedar semula wajib diqadha bilangan solat yang tertinggal. Akan tetapi dimaafkan secara terus orang yang diserang penyakit gila atau koma, di mana kedua ini adalah sejenis keuzuran yang berpanjangan dan orang yang menghadapi suasana ini diangkat darinya sebarang kewajipan agama, seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Orang yang menghadapi kondisi ini tidak perlu mengqadha solat yang tertinggal selama tempoh dia sedang gila atau koma. Walaubagaimanapun perlu dibezakan antara gila kerana penyakit atau gila kerana mabuk; di mana gila kerana mabuk adalah perbuatan sengaja manusia itu sendiri dan dia tetap diwajibkan mengqadha semula solat yang tertinggal apabila waras kembali.[5]

Kategori ketiga yang membolehkan solat diqadha ialah apabila seseorang itu tersilap dalam kiraan waktu solatnya. Contohnya ialah apabila seseorang yang bermusafir ke negara lain lalu tersilap dalam menentukan zon waktu negara tersebut, kemudian dengan itu disangkanya bahawa waktu solat itu masih hadir padahal sudah luput maka bagi dia tiada kesalahan kecuali tetap menunaikan solat tersebut secara qadha. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Maksud surah al-Ahzab 33 - 05] dan juga sabda Nabi sallallahu-alaihi- wasallam: Sesungguhnya Allah telah memaafkan kerana aku, kesilapan dan kelupaan dari umat aku serta apa yang mereka lakukan kerana dipaksa.[6]

Kategori keempat yang membolehkan solat fardhu ditunda dari waktunya yang asal ialah dalam suasana darurat. Darurat ialah satu kondisi yang melibatkan keselamatan nyawa dan anggota seseorang itu atau orang-orang di bawah amanahnya (Life and Death situation). Dari sudut syari'ah ianya didefinasikan sebagai - Darurat itu ialah datangnya keadaan bahaya atau kesulitan yang amat berat kepada diri manusia, yang membuatkan dirinya kuatir akan terjadinya kerosakan atau sesuatu yang menyakiti jiwa, anggota badan kehormatan, akal harta dan yang bertalian dengannya.

Ketika ini boleh atau tidak harus mengerjakan yang diharamkan atau meninggalkan yang diwajibkan atau menunda waktu perlaksanaan guna bagi menghindari kemudaratan yang diperkira dapat menimpa dirinya selama tidak keluar dari syarat-syarat yang ditentukan syara'. [7]

Dalil yang membolehkan suasana darurat sebagai faktor membolehkan penundaan kewajipan solat dari waktunya ialah peristiwa yang berlaku di ketika Perang Khandak, di mana Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam dan para muslimin sekalian sedang berada di kegentingan peperangan mempertahankan Kota Madinah dari serangan musuh sehingga tidak berkesempatan untuk mendirikan solat Asar. Maka apabila serang musuh yang bertubi-tubi itu reda di waktu Maghrib, barulah Nabi sallallahu-alaihi- wasallam serta orang ramai berkesempatan untuk menunaikan solat Asar mereka, diikuti dengan solat Maghrib.

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menceritakan: Di ketika Perang Khandak Umar al-Khattab menyumpah-marah kaum kafir Quraish di ketika matahari sudah terbenam lalu berkata: Ya Rasulullah ! Saya tidak sempat mendirikan solat Asar dan matahari sudahpun turun ! Nabi sallallahu-alaihi- wasallam berkata: Demi Allah ! Aku juga belum solat ! Dengan itu kami turun ke Buthan (perigi air - P) dan Nabi berwudhu' dan kami juga berwudhu' dan kemudian kami mendirikan solat Asar setelah matahari terbenam diikuti dengan solat Maghrib.[8]

Maka dari hadith dan peristiwa di atas para ahli fiqh bersepakat menyatakan bahawa kondisi yang membolehkan seseorang itu menundakan solatnya ke waktu yang lain apabila dia berada dalam keadaan sedar ialah kondisi darurat sahaja. Diulangi bahawa darurat itu ialah suasana yang membahayakan nyawa seseorang itu atau mana-mana anggota tubuh badannya. Adapun keuzuran atau apa-apa halangan lain yang tidak membahayakan nyawa dan anggota maka ia tidaklah membawa kepada kelonggaran hukum mengqadhakan solat, sepertimana yang akan dihuraikan di bawah nanti.

Tertib Mengqadha Solat.

Solat-solat yang terluput dari waktunya wajib didirikan semula secepat mungkin apabila teringat dan sedar dari kondisi terdahulu kecuali ada sebab tulen yang menghalang seperti terikat dengan suasana cuaca buruk, amanah berat dan tanggung-jawab yang tidak dapat ditangguhkan. Solat yang tertunda juga wajib diqadha secara berturut dan bergiliran, tidak dengan pilihan yang rambang. Maksudnya ialah orang yang tertidur sehingga luput solat Asarnya dan kemudian terjaga di waktu solat Maghrib maka bagi dia ialah menunaikan solat Asar dahulu kemudian diikuti oleh solat Maghrib. Demikian juga kaedahnya bagi orang yang tertinggal beberapa solat sekali-gus, dia wajib mengqadhakan solatnya itu mengikut giliran dan turutan kemudian barulah mendirikan solatnya yang hadir. Kewajipan ini didasarkan kepada hadith di atas mengenai peristiwa Perang Khandak di mana Nabi sallallahu-alaihi- wasallam apabila terhalang solat Asarnya sehingga masuk waktu Maghrib, beliau mengqadha solat Asar itu terlebih dahulu kemudian baru diikuti oleh solat Maghrib.

Walaubagaimanapun kewajipan ini, berdasarkan ijtihad para fuqaha[9], dilonggarkan dalam beberapa suasana, iaitu -

1. Apabila waktu solat yang hadir hampir berakhir maka diharuskan mendirikan solat yang hadir dahulu kemudian diikuti oleh solat yang hendak diqadha.

2. Apabila sedang solat lalu tiba-tiba baru teringat akan solat yang tertinggal maka dibolehkan meneruskan solat itu sehingga akhir kemudian disusuli dengan solat yang perlu diqadha itu.

3. Apabila solat yang perlu diqadha itu melebihi solat sehari, iaitu melebih 5 waktu maka dilonggarkan kewajipan mengqadhanya mengikut turutan akan tetapi tetap wajib diqadhakannya secepat mungkin.

Disini perlu diperbetulkan perbuatan sesetengah yang memilih-milih secara rambang tentang bilakah dia akan mengqadha solat yang tertinggal dan mengikut suka hati solat apa yang hendak diqadhakan dahulu. Sumber-sumber nas jelas menerangkan bahawa solat adalah ibadah tunggak seorang muslim dan apabila tertinggal ia wajib diqadha secepat mungkin menurut turutan dan gilirannya. Adapun memilih-milih sesuka hati bilakah akan diqadha solat yang tertinggal dipandang sebagai satu perbuatan meremahkan solat dan mempermainkan tanggung-jawabnya terhadap Allah Azza waJalla dan orang sebegini dituntut agar segara bertaubat dan memperbetulkan perbuatannya itu.

No comments:

Post a Comment